"Sampaikanlah dariku walau satu ayat"~[hadith]

Assalamualaikum warahmatullahi warakatuh.. Terima Kasih kerana mengunjungi blog ilmu lancaster. Blog ini telah diwujudkan oleh warga warga yang perihatin dengan Ilmu. Banyak Ilmu ilmu yang kita dapat sehari hari, daripada khutbah, melayari Internet, email, youtube, perjumpaan komuniti malah pemerhatian kita terhadap tanda(ayat) kebesaran Allah serta Tadabbur Al Quran itu sendiri.. Jesteru sampaikanlah apa yang termampu di Blog ini melalui komen2 dan sebagainya. semoga ada manfaat kepada warga Lancaster khususnya dan warga internet umumnya. Semoga Allah jualah yang membalas amal kita dan digolongkan sebagai ilmu yang bermanfaat yang akan mengikut kita ke kubur

Friday 15 February 2008

Program 3 dan 17 Februari 2008

ILMU FALAK DALAM PENENTUAN SOLAT DAN ARAH KIBLAT

Disediakan oleh Azmi Awang Md Isa

Assalamualaikum wrt wbt

Marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat, hidayah dan nikmatnya telah membolehkan kita berhimpun bersama-sama di majlis ilmu anjuran LUMSS pada petang yang penuh berkat ini.

Tajuk yang akan dibentangkan adalah berkaitan dengan Ilmu Falak sama seperti pembentangan oleh Saudara Zulkiflee pada sesi sebelum ini tetapi fokus yang akan diberikan adalah menjurus kepada ILMU FALAK DALAM PENENTUAN SOLAT DAN ARAH KIBLAT. Dan saya akan berkongsi ilmu dengan saudara2 sekalian mengenai dua hasil penyelidikan yang saya telah jalankan sebelum ini iaitu Muslims In Space dan GPSolat.

Sebagai mukadimahnya, jika kita renungkan kembali, salah satu faktor kegemilangan umat Islam ialah berjaya meletakkan keutamaan ilmu pada susunan yang tepat. Sebagai contohnya, kerajaan Abbassiyyah telah meletakkan ilmu falak pada kedudukan yang ketiga pentingnya selepas ilmu tauhid dan fiqh serta ilmu kedoktoran. Seperti yang kita maklum, ilmu tauhid serta fiqh mengajar manusia mengenali penciptanya, dan mengajar tatacara, bagaimana cara terbaik berhubung dengan pencipta serta berinteraksi sesama manusia. Manakala ilmu kedoktoran dan perubatan mengajar manusia, bagaimana mengenali diri sendiri. Ilmu falak pula mengajar manusia mengenali alam sekeliling dan alam semesta. Melihat keperluan ilmu falak ini, khalifah Abu Jaafar Al-Mansur, salah seorang khalifah Abbassiyyah telah membelanjakan dana negara yang besar untuk memperkembangkan pengajian dan penyelidikan ilmu falak. Pada zaman kerajaan Umaiyyah pula, ilmu falak terus dikembangkan sehingga berada di puncak kecemerlangannya terutama ketika pemerintahan khalifah al-Makmun. Pada zaman inilah, lahirnya konsep balai cerapan astronomi.

Perkembangan positif ilmu falak sebenarnya telah meletakkan kepentingannya dalam membantu kesempurnaan ibadat dan kesejahteraan umat Islam, terutama penyediaan taqwim (kalendar Islam) dan penentuan solat dan arah qiblat. Penyediaan taqwim (kalendar Islam), akan melibatkan rukun Islam selepas ibadat solat iaitu puasa di bulan Ramadhan, pembayaran zakat dan ibadat haji. Ia melibatkan pengetahuan tarikh dan juga penetapan waktu tertentu untuk melaksanakannya. Sebagai contoh, penentuan ibadat puasa di bulan Ramadhan dimulai dengan penetapan tarikh awal Ramadhan dan ditamatkan dengan penetapan awal Syawal.

Penentuan waktu solat dan arah kiblat juga akan melibatkan ilmu falak/astronomi. Ilmu falak menyediakan kaedah perhitungan dan penghisaban yang diyakini ketepatannya. Dalam konteks penetapan waktu solat (sembahyang) sama ada solat fardu atau solat sunat tertentu, dasar syarak yang ditetapkan adalah merujuk kepada kedudukan matahari relatif kepada kita. Begitu juga dalam menentukan arah qiblat. Salah satu syarat sah solat (sembahyang) yang dilakukan dalam keadaan aman adalah menghadap qiblat iaitu kaa’bah di Makkah al-Mukarramah.

Dalam surah al-baqarah, ayat 149, Allah telah menentukan arah qiblat adalah Kaabah dengan firmannya yang bermaksud: “ Dari arah mana saja kamu keluar (datang), maka palingkanlah wajahmu ke arah masjidil haram (kaabah). Sesungguhnya ketentuan itu, benar-benar sesuatu yang hak dari tuhanmu. Dan Allah sesekali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan ”.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Bila hendak mengerjakan solat maka sempurnakanlah wuduk, lalu menghadap qiblat, kemudian takbir" (riwayat bukhari dan muslim)

Dari Ibnu Abbas, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Baitullah (kaabah) adalah qiblat bagi orang-orang dalam masjidil haram dan masjidil haram adalah qiblat orang-orang yang tinggal di tanah haram (mekah) dan tanah haram (mekah) adalah qiblat bagi seluruh penduduk bumi, timur dan barat dari umatku” (riwayat al-baihaqi)

Berdasarkan dalil daripada Al-Quran dan hadith di atas, difahami bahawa menghalakan wajah ke arah qiblat adalah syarat sah solat. Qiblat itu adalah kedudukan kaabah. Bagi masyarakat yang berada di mekah, soal menghadap qiblat tidak menjadi masalah. Namun begitu bagi kita yang berada jauh dari masjidil haram mekah, ada kadangkala menimbulkan masalah yang boleh membawa pada kekeliruan dan pertentangan pendapat. Di sini lahirlah konsep ijtihad dalam menentukan arah qiblat. Konsep ijtihad ini hanya boleh diguna pakai bagi mereka yang tidak mempunyai teknik atau alat dalam menentukan arah qiblat. Bagi sesebuah tempat yang telah ditentukan arah qiblatnya seperti masjid dan surau, maka ketika itu kaedah ijtihad tidak boleh digunakan lagi.

Antara kaedah-kaedah yang digunakan dalam menentukan arah qiblat termasuklah:

i. Kaedah matahari istiwa atas kaabah (iaitu matahari berada tepat di atas kaabah). Kejadian ini berlaku dua (2) kali setahun, iaitu pada 28/5 (jam 5.16 ptg) dan 16/7 (jam 5.28 ptg) waktu Malaysia

ii. Kaedah buruj bintang. Buruj bintang ialah sekumpulan bintang yang berada di suatu kawasan langit serta mempunyai bentuk yang hampir sama dan kelihatan berdekatan antara satu sama lain. Menurut International Astronomical Union (IAU), langit dibahagikan kepada lapan puluh lapan (88) kawasan buruj bintang. Bintang-bintang yang berada di suatu kawasan yang sama adalah dalam satu buruj. Pemerhati purba telah menetapkan sesuatu buruj bintang mengikut bentuk yang mudah mereka kenal pasti seperti bentuk-bentuk haiwan, geometri dan seumpamanya. Dengan mengetahui bentuk buruj-buruj bintang tertentu, arah utara dan arah qiblat dari sesuatu tempat boleh ditentukan.

Buruj Orion / Buruj Al-Babadour

Pada buruj ini terdapat tiga bintang yang berderet iaitu Mintaka, An-Nilam dan An-Nitak. Arah qiblat boleh diketahui dengan mengunjurkan arah tiga bintang berderet tersebut ke arah barat. Buruj Orion akan berada di langit Malaysia ketika waktu subuh pada Julai dan kemudian akan kelihatan pada bulan Disember. Pada bulan Mac Buruj Orion akan berada di tengah-tengah langit pada waktu Maghrib. Lihat rajah dibawah:

iii. Kaedah matahari terbit/terbenam. Jika pada waktu siang hari bolehlah merujuk kepada posisi matahari dengan memerhatikan arah ia terbit dan juga terbenam. Arah terbit adalah pada sebelah timur dan arah terbenam pada sebelah barat. Sebelah barat adalah arah kedudukan Makkah secara rawak dan ianya boleh dijadikan panduan bagi menentukan arah kiblat.

iv. Kaedah-kaedah moden seperti hitungan berdasarkan pada konsep arah di sepanjang bulatan gedang bumi (great circle). Hitungan adalah berdasarkan kepada konsep arah di sepanjang bulatan gedang bumi (great circle). Membabitkan model matematik sfera yang mengandungi koordinat geografi tempatan dan koordinat geografi rujukan (Kaabah).

v. Penggunaan kompas prismatik. Penandaan arah kiblat dengan kompas banyak diamalkan di kalangan masyarakat Islam masa kini. Arah yang ditunjukkan oleh sesuatu kompas adalah arah merujuk ke arah utara. Arah utara magnet pula tidak semestinya bersamaan dengan arah utara benar. Perbezaan arah utara ini dipanggil sebagai sudut serong magnet. Antara masalah yang boleh timbul menggunakan kompas ialah tarikan graviti tempatan yang mana ia terkesan dari kewujudan bahan logam atau arus elektrik di sekeliling kompas yang digunakan. Boleh digunakan sebagai alat alternatif jika alat yang lebih sesuai tidak ada

vi. Penggunaan Teodolit. Teodolit adalah antara alat termoden yang diguna pakai oleh kebanyakan juru ukur dan pihak yang melakukan kerja menentukan arah kiblat. Alat itu digunakan untuk mengukur bacaan sudut secara mendatar dan menegak. Ia memberi kejituan bacaan tinggi dan tepat.

Definisi Waktu Solat

Waktu solat adalah peruntukan tempoh atau selang masa tertentu bagi masyarakat muslim menjalani syariat solat sama ada fardhu ataupun sunat. Penyusunan waktu solat fardhu telah diajarkan sendiri oleh Malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad s.a.w. Waktu solat adalah piawai bagi masyarakat muslim seluruh dunia. Terutama bagi solat fardhu, waktunya ditetapkan mengikut peredaran matahari dan bukan mengikut selang masa yang tetap. Hal ini disebabkan oleh faktor geografi, bentuk bumi, kecondongan paksi bumi dan peredaran bumi dalam orbitnya yang berbentuk elips. Kerana itu waktu solat boleh berubah mengikut pertukaran musim disebabkan perbezaan kadar siang dan malam.

Waktu Solat Fardhu

Solat Zohor
Waktu Zohor/Zuhur (ﻇﻬﺮ) bermula daripada gelincir matahari dari kedudukan tengah langit hingga bayang-bayang suatu benda menyamai panjangnya. Secara umumnya, zohor bermula apabila bayang-bayang sudah cenderung ke arah barat.

Solat Asar
Waktu Asar (ﻋﺼﺮ) bermula apabila sesuatu bayang objek melebihi kepanjangan sebenar sehingga matahari mula terbenam. Haram menta'khirkan atau melewatkan solat asar sehingga tinggal waktu yang tidak sempat untuk dikerjakan.

Solat Maghrib
Waktu Maghrib (ﻣﻐﺮﺏ) bermula apabila matahari terbenam (hilang bentuk bulatannya) hingga hilang cahaya kemerahan di kaki langit. Bagi kawasan atau negeri yang tidak hilang cahaya tersebut (kawasan seperti kutub), maka dikira kadar panjang atau tempoh yang sama bagi kawasan atau negeri yang berhampiran yang mengalaminya.

Solat Isyak
Waktu Isya'/Isyak (ﻋﺸﺎﺀ) bermula apabila hilang cahaya merah di kaki langit hingga terbit fajar sadiq. Waktu isya adalah waktu solat yang paling lama iaitu sepanjang malam.

Solat Subuh
Waktu Subuh (ﺻﺒﺢ) bermula dari naik fajar sadiq sehingga terbitnya matahari atau dikenali sebagai Syuruk.

PENYELIDIKAN 1: ‘MUSLIMS IN SPACE’

SOLAT DAN ARAH KIBLAT DI ANGKASA.

Penyelidikan ini tercetus dari ilham “Program angkasawan Malaysia”. Idea dicetuskan oleh Allahyarham Prof Madya Dr Zainol Abidin, Pensyarah UKM pada tahun 2004. Penyelidikan tersebut dibantu oleh penyelidik-penyelidik dari UTeM iaitu Azmi Awang Md Isa, Fauzi Mohd Johar dan Mohd Saari Mohamad Isa.

Projek “Muslims In Space” dihasilkan dari gabungan pengetahuan dalam bidang mekanik orbit (teknologi angkasa), ilmu falak dan matematik. Kunci pertama kepada reka bentuk sistem tersebut ialah penggunaan konsep Projected Earth atau `Bumi Terunjur'.

Dalam konsep Projected Earth, Bumi diunjurkan kepada ketinggian orbit kapal angkasa. Ini bermakna, bagi ketinggian kapal angkasa Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) lebih kurang 360 kilometer, jejari Bumi terunjur bersamaan dengan 6,738 kilometer iaitu jejari Bumi sepanjang 6,378 kilometer ditambah dengan ketinggian stesen angkasa ISS 360 kilometer dari permukaan bumi.

Dengan konsep ini, kapal angkasa seolah-olah bergerak di atas permukaan Bumi. Penentuan masuk waktu sembahyang dan arah kiblat sekarang menjadi mudah iaitu seperti yang diguna pakai untuk bumi sebenar berdasarkan kepada sudut matahari dan trigonometri sfera.

ISS mengorbit Bumi pada kelajuan 7.6 kilometer sesaat (km/s) pada ketinggian 360 kilometer dan mengorbit bumi sebanyak 15.6 kali atau sekitar 16 pusingan dalam sehari dengan tempoh orbit 91.8 minit.

Dalam keadaan ini, semua lima waktu sembahyang hadir bagi setiap orbit dan setiap sembahyang, umpamanya subuh akan ditemui sebanyak 16 kali dalam sehari di atas kapal angkasa ISS dan begitu juga dengan sembahyang lima waktu yang lain.

Harus diingat bahawa kewajipan sembahyang adalah lima waktu dalam sehari yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam apabila cukup syaratnya. Bagi mengatasi masalah bilangan sembahyang sebanyak 80 kali ini (lima waktu solat x 16 pusingan orbit), pengiraan masuk dan tamat waktu sembahyang serta peluang waktu sembahyang, ketetapan yang diguna pakai ialah:

1. Tentukan pecahan waktu setiap sembahyang bagi satu orbit dan peluang-peluang waktu sembahyang bagi kesemua 16 orbit dalam sehari.

2. Berdasarkan kepada pecahan waktu setiap sembahyang bagi satu orbit adalah sama bagi setiap orbit, semua lima waktu sembahyang dapat dilaraskan kepada lima waktu dalam sehari dengan mendarab pecahan lima waktu sembahyang setiap orbit ini dengan 24 jam. Dalam kaedah ini, waktu-waktu masuk dan berakhirnya setiap sembahyang dalam sehari di atas kapal angkasa dan peluang-peluang waktu sembahyang (berdasarkan kepada sudut matahari) dapat ditentukan dan berdasarkan kepada perkiraan tersebut. Waktu tidak dibenarkan sembahyang juga dikira.

3. Sembahyang (wajib) adalah menurut turutan, iaitu sekiranya sekarang ialah waktu zuhur, sembahyang berikutnya ialah asar dan sembahyang asar hanya boleh dikerjakan apabila dua perkara berikut adalah benar, iaitu julat waktu sembahyang zuhur yang dilaras telah tamat dan peluang waktu asar wujud.

4. Untuk keselesaan angkasawan, ketetapan waktu malam dan siang di angkasa (waktu untuk bekerja dan berehat atau tidur) yang diambil pakai di ISS perlu diambil kira dalam perkiraan waktu-waktu sembahyang ini. Hal ini adalah mudah kerana ISS beredar mengelilingi Bumi sebanyak 16 kali dalam sehari, jadi waktu-waktu sembahyang lima waktu dapat disusun supaya selari dengan ketetapan siang dan malam di ISS (contohnya zuhur dan asar dalam waktu siang) dan menurut tertib waktu sembahyang. Pelarasan waktu sembahyang ini masih benar kerana peluang-peluang dan waktu-waktu sembahyang adalah menggunakan perkiraan sudut matahari.

5. Meskipun arah kiblat berubah semasa mengerjakan sembahyang, iaitu lebih kurang 3.9 darjah setiap minit, perubahan arah ini adalah tidak ketara dan masih boleh dianggap bahawa seseorang itu menghadap arah kiblat sepanjang waktu sembahyang. Pelantar berputar yang sentiasa bergerak mengikut arah kiblat boleh dibangunkan bagi memastikan sembahyang dilaksanakan sentiasa dalam arah kiblat. Namun ini dirasakan tidak perlu. Harus diingat Islam adalah agama yang memudahkan. Perlu juga diingat Islam adalah agama ilmu dan tertib. Andaian yang diambil pakai bagi membolehkan seseorang itu sembahyang dalam mana-mana arah dalam keadaan darurat adalah kurang wajar jika terdapat ilmu dan peralatan bagi menentukan kedudukan kiblat, terutama sekali dalam zaman teknologi canggih sekarang ini,'' katanya.

Dengan inovasi Muslims in Space itu, angkasawan hanya perlu merujuk tiga aplikasi penting dalam sistem tersebut, iaitu, arah kiblat, masa masuk waktu sembahyang (dan masa habis waktu) serta satu lagi aspek iaitu beliau namakan sebagai `peluang' untuk mengerjakan sembahyang. Arah kiblat boleh ditentukan dengan merujuk kepada jarum khas (sama seperti jarum kompas) dengan hala tuju pergerakan kapal angkasa sebagai rujukan (utara).

********************************************************************************

JAKIM telah mengeluarkan satu garis panduan bagi Angkasawan Malaysia untuk menunaikan Ibadah di Angkasa

GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH DI INTERNATIONAL SPACE STATION (ISS)

Angkasa ialah udara, langit. Angkasa lepas bermaksud ruang lapisan udara yang mengelilingi dunia. Mengikut buku garis panduan pelaksanaan ibadah di International Space Station ( ISS ) Stesen Angkasa Antarabangsa , cara pelaksanaannya adalah seperti berikut :

Pertama :
Penentuan kiblat. mengikut kemampuan berdasarkan urutan berikut :
1. Kaabah
2. Unjuran Kaabah
3. Bumi
4. Mana-mana arah

Kedua :
Penentuan waktu solat.
Lima waktu solat dalam tempoh 24 jam ( 1 hari di bumi ) mengguna pakai waktu solat tempat berlepas (dengan penyesuaian untuk kawasan melebihi latitud 45 darjah utara mengikut buku kaedah panduan falak syarie) angkasawan.

Ketiga :
Cara menunaikan solat.
1. Solat boleh ditunaikan secara jamak dan qasar dan tidak perlu di qoda.
2. Pelaksanaan rukun fekli ( perbuatan ) solat adalah dengan mengikut diri angkasawan mengikut keseuaian keadaan di ISS berdasarkan urutan berikut :
a.Jika tidak berupaya berdiri tegak, hendaklah berdiri secara membongkok.
b. Jika tidak berupaya berdiri hendaklah secara duduk. Seseorang boleh melakukan rukuk dengan dahinya setentang lutut atau yang lebih utama setentang dengan tempat sujud.
c. Jika tidak berupaya duduk, hendaklah secara berbaring mengiring di atas lambung kanan dan sebahagian tubuh mengadap kiblat.
d. Jika tidak berupaya baring hendaklah secara menelentang.
e. Jika tidak berupaya secara menelentang, hendaklah secara isyarat mata bagi setiap pergerakan solat.
f. Jika tidak berupaya juga hendaklah dengan hati iaitu menggambarkan dirinya berdiri , rukuk , sujud dan seterusnya.
3. Pelaksanaan rukun qauli ( perkataan ) solat adalah sama seperti di bumi.

PENYELIDIKAN 2: “ GPSolat” - Mobile Prayer Times and Qiblat Direction Using GPS.

GPSolat merupakan satu perisian yang dapat menentukan waktu solat dan arah kiblat dimuka bumi samada didarat, dilaut, dihutan, diudara secara automatik dengan menggunakan Sistem pemantauan Global (GPS).

Petikan dari Surat Khabar Utusan Malaysia Helaian Mega Cover bertarikh 24 Mei 2007

Setiap kali pergi ke luar daerah atau luar negara atas urusan kerja atau bercuti sebagai seorang Islam, kita pasti menghadapi masalah mencari arah kiblat serta waktu solat. Biasanya kita akan mencari kompas tetapi kadang-kala buku manual pula hilang entah ke mana dan arah kiblat sekali lagi sukar dikenalpasti. Begitu juga waktu solat, setiap kali ke luar negara, kita pasti mencari laman web mengenai waktu solat dan mencetaknya sebagai panduan.

Bagi mengatasi masalah arah kiblat dan waktu solat, sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencipta satu kaedah penyelesaian bagi memudahkan umat Islam mendirikan solat di mana saja mereka berada dengan menggunakan sistem GPS (Global Positioning System) atau Sistem Penentuan Global . Projek tersebut dikenali sebagai GPSolat (gabungan GPS dan Solat).

Ketua Penyelidiknya, Azmi Awang Md Isa yang merupakan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer, UTeM berkata, idea mencipta GPSolat timbul selepas terhasilnya arah kiblat dan waktu solat di angkasa. "Bezanya di angkasa, segalanya telah tersedia dan hanya memerlukan perisian bagi menentukan waktu solat dan arah kiblat,’’ katanya. Anggota lain kumpulan penyelidik tersebut ialah Zahriladha Zakaria, Fauzi Mohd Johar dan Ahmad Faisal Othman.

Azmi berkata, sebagai umat Islam, kita wajib mendirikan solat walau di mana kita berada sama ada di daratan, lautan mahupun di atas pesawat. Umat Islam yang menaiki pesawat amat sukar menentukan waktu solat semasa dan arah kiblat semasa kerana faktor seperti kelajuan pesawat, pusingan kapal terbang yang tidak menentu, lokasi semasa yang tidak diketahui (bagi yang merentas negara lain) serta altitud (ketinggian) pula memberi kesan terhadap sudut matahari.

Selama ini tidak terdapat peralatan mudah alih yang boleh menentukan waktu solat dan arah kiblat di lokasi berlainan secara automatik tanpa memerlukan pengguna tahu lokasi semasa dan masa semasa di tempat itu Projek GPSolat memberikan sistem yang inovatif bagi masa-sebenar solat dan arah kiblat secara digital menggunakan pembantu digital peribadi (PDA) atau komputer peribadi (PC) poket dengan GPS terbina dalam,’’ katanya semasa ditemui di Ekspo Teknologi Malaysia 2007 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Azmi menambah penggunaan GPS dalam GPSolat adalah ia boleh menentukan lokasi dengan tepat walaupun berada dalam kenderaan yang sedang bergerak seperti kapal terbang, kapal laut atau keretapi. Oleh itu penentuan waktu solat dan arah kiblat dapat ditentukan secara automatik tanpa perlu mengetahui di mana anda berada. "Waktu solat di mana-mana lokasi di dalam apa-apa kenderaan boleh ditentukan secara matematik jika latitud, longitud dan altitud diketahui,’’ katanya lagi.

Bagaimanapun penentuan waktu solat secara teori memakan masa yang lama serta remeh justeru perisian komputer canggih diperlukan bagi meminimumkan masa pemprosesan. Azmi berkata, projek GPSolat terbahagi kepada dua bahagian iaitu perkakasan menggunakan PDA dengan GPS terbina dalam dan pembangunan perisian menggunakan Microsoft Visual Basic. NET. Penerima GPS membekalkan maklumat latitud, longitud dan altitud pesawat dan maklumat berkenaan diselaraskan dengan perisian bagi memberikan waktu solat dan arah kiblat semasa.

"Di sini perisian Graphical User Interface (GUI) telah dibangunkan bagi menentukan waktu solat masa-sebenar dan arah kiblat dengan ciri-ciri tambahan yang digabungkan dalam peralatan mudah alih seperti PDA atau telefon pintar dengan keupayaan GPS. Diharapkan sistem berkenaan boleh menjadi platform bagi masyarakat Muslim menunaikan solat walau di mana mereka berada,’’ jelas Azmi.

Kelebihan sistem ini adalah pengguna boleh mendapatkan waktu solat dan arah kiblat tanpa perlu tahu lokasi mereka berada. Selain pada itu, masa ralat-sifar bagi waktu solat membolehkan pengguna mendapatkan waktu solat yang tepat kerana GPS tidak mengikut waktu di skrin komputer atau PDA.

Azmi berkata, penggunaannya amat menjimatkan kerana hanya memerlukan GPS bina dalam di PDA dan pengguna hanya perlu memuat turun perisian GPSolat. Penggunaan GPS dalam menentukan arah kiblat dan waktu solat merupakan satu sistem yang inovatif memandangkan ia tidak memerlukan peralatan tambahan.

GPSolat juga mesra pengguna dan boleh digunakan dalam apa saja keadaan dan di mana pengguna berada. Azmi yakin peluang pasaran produk GPSolat amat tinggi memandangkan populasi penganut Islam di muka bumi ini amat besar iaitu sekitar 1.6 billion pada 2005 begitu juga dengan pertambahan pasaran PDA dan telefon pintar tahun demi tahun.

Tuesday 5 February 2008

Spreading the greetings of Salām (Peace)

The Prophet (sallallâhu ‘alayhi wasallam) said: "You shall not enter Paradise until you believe, you have not believed until you love one another. Shall I tell you of something you can do to make you love one another? Spread the greeting of Salām (peace) amongst yourselves (i.e. between each other)." [Muslim 1/74 and others]

The Prophet (sallallâhu ‘alayhi wasallam) said: "There are three things which whoever gathers all of them together, then he has gathered Imān (Faith): justice with oneself, greeting people with greetings of Salām (peace), and freeing oneself from stinginess." [Al-Bukhāri, cf. Al-Asqalāni, Fathul-Bāri 1/82 as a statement of the Companion ' Ammār (radiAllah 'anhu)]

Abdullah bin 'Umar (radiAllah 'anha) said: A man asked the
Prophet (sallallâhu ‘alayhi wasallam), "What is the best act of Islām?" He said, "To feed others and to give greetings of Salām (peace) to those whom you know and to those whom you do not know." [Al-Bukhāri, cf. Al-Asqalāni, Fathul-Bāri 1/55, Muslim 1/65]

Sunday 3 February 2008

Ceramah Islam

http://www.ceramahislam.com/index.html

Audio Lectures (mp3) in Malay, English, Tamil and Arabic

Video Lectures (wmv) in Malay and English

Quran Recitation (mp3 & flv)

Radio nasyid FM