Taklid datangnya dari perkataan al-qilaadah, yang bermaksud rantai yang diikat seseorang kepada seseorang yang lain. Manakala dari istilah, ia bermaksud; Amalan yang berdasarkan pendapat seseorang sahaja, tanpa disertakan dengan dalil-dalil.[1]
Isu taklid dan ijtihad ini sebenarnya sudah lama diperbahaskan. Antara ulama yang lantang dalam mewajibkan taklid adalah Syeikh As-shawi al-Maliki[2], penulis kitab al-Haasyiyah(komentar) terhadap kitab asy-Syahr asy-Shagir iaitu kitab Syeikh Dardir. Manakala ulama-ulama kontemporari pula antaranya; Syeikh Muhammad Zahid al-Kutsari dalam kitabnya al-laa Mazhabiyah Qantharah ilaa al-laa Diiniyah, Syeikh Muhammad al-Hamid dan Syeikh Muhammad Said al-Bouthi dalam kitabnya al-laa Mazhabiyah Akhtar Bid'ah Tuhaddidu Asy-Syariah al-Islamiyah.
Manakala ulama yang tidak mewajibkan bertaqlid juga ramai, antaranya; Imam Syaukani dalam kitabnya Irsyaad al-Fuhul, as- Sail al-Jaraa, Abu Muhammad bin Hazm dalam kitabnya al-Ahkam fi Usul al-Ahkam. Manakala ulama kontemporari pula dari kalangan ahli-ahli hadith, antara yang terkenal ialah Muhadithin Muhammad Nasirudin al-Bani.
Bersederhana
Perbahasan-perbahasan para ulama ini menghasilkan beribu pengetahuan kepada umat Islam. Namun ia tidak lari dari kesilapan dan kesalahan. Oleh sebab itu, untuk mewajibkan pun tak boleh, nak membenarkannya secara mutlak pun tak boleh. Hal ini telah menarik perhatian Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam menyelesaikan perkara ini secara baik dan mantap. Penyelesaiannya ialah BERSEDERHANA.
Imam Yusuf al-Qardhawi mengatakan bahawa tidak boleh mewajibkan taklid secara mutlak dan tidak mengharamkannya secara mutlak. Tetapi membenarkannya(bertaklid) kepada orang-orang tertentu dan mengharamkannya kepada orang tertentu.
Imam Yusuf al-Qardhawi memetik kata-kata as-Syahid Imam Hassan al-Bana(bapa mertua Syeikh Muhammad Said Ramadhan Al-bouthi). Katanya : "Bagi setiap muslim yang belum mampu untuk menganalisis dalil-dalil hukum syariat Islam, maka hendaklah dia mengikut(ittiba') salah seorang imam dari imam-imam kaum muslimin. Alangkah baiknya jika ia berusaha untuk mengetahui dalil-dalil tersebut sesuai mengikut kadar kemampuannya dan menerima setiap hukum yang disertakan dengan dalil. Manakala, jika mereka yang berilmu hendaklah memenuhi kekurangannya dalam hal ilmu agama. Sehingga membolehkan dia ke tahap kelayakan untuk menganalisis sesuatu hukum".[3]
Ittiba' iaitu mengikuti dengan dalil
Kalau kita teliti ucapan as-Syahid Imam Hassan al-Banna, kita akan menjumpai perkataan "mengikuti(ittiba') bukan taqlid. Sebenarnya perkatan ittiba(mengikut) itu lebih utama dan baik dari menggunakan perkataan taklid. Al-Quran sendiri menggunakan perkataan ittiba' dalam perkara yang terpuji dan dalam perkara yang disyariatkan. Misalnya dialog antara Nabi Ibrahim dengan ayahnya,
Wahai bapakku, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutilah aku, niscaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus.[4]
Intipati ayat ini adalah menyuruh agar seseorang yang tidak berilmu, MENGIKUTI orang yang berilmu. Selain itu perkataan Ittiba' ini juga dikhabarkan Allah dalam surah yang lain:
Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami. Musa berkata kepada Khidhr: "Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu?"[5]
Taklid tidak disyariatkan
Makna taklid ini juga pernah dikomentar oleh Abu Abdullah bin Khuwaiz Mindad al-Bashari al-Maliki, beliau berkata "Makna Taklid secara syariat adalah merujuk kepada perkataan yang tidak memiliki hujah dari pengucapannya. Hal ini dilarang menurut syariat. Sedangkan ittiba'(mengikut) adalah perkataan yang telah ditetapkan oleh Hujjah"
Maksudnya disini, taklid adalah mengikut sesuatu pendapat tanpa disertakan dengan dalil-dalil syariat. Mudah kata, mengikut membabi buta! Dan cara ini tidak dibenarkan dalam Islam. Sesuatu pendapat untuk diikuti haruslah disertakan dengan dalil, dengan cara itu ia dibenarkan dalam islam itulah dinamakan ittiba'.[6]
Tidak ada kepuasan dan tidak melahirkan ketenangan
Akhir sekali memetik kata-kata dari Syeikh Wahbah al-Zuhaili:
Mengetahui hukum syara' di bidang fiqh tanpa dalil dan hujah tidak akan menimbulkan kepuasan fikiran dan kenikmatan jiwa serta tidak akan melahirkan ketenangan kepada mereka yang berilmu dan orang yang menuntut ilmu. Dengan kata lain ilmu yang disertakan dengan dalil akan mengeluarkan seseorang daripada ikatan taqlid buta yang dicela oleh al-Qur'an kepada ikutan dalam keadaan sedar dan mengetahui seperti yang disyaratkan oleh imam-imam yang kita terima ilmu pengetahuan daripada mereka. Selain itu, dalil dan hujah merupakan roh kepada fiqh. Mempelajarinya adalah menjadi latihan dan pendidikan akal serta dapat memupuk bakat orang yang mempunyai ilmu di dalam bidang ini. [7]
Yussamir Yusof
Timbalan Amir 1,
Institusi Usrah,
MMU Cyberjaya Kampus
yussamiryusof@gmail.com
[2] Ulama yang sezaman dengan Imam Syaukani.
[3] Kaifa nata'mal ma'a thurath wa tamazhab wal ikhtilaf-Yusuf al-Qardhawi
[4] Maryam:43
[5] al-Khafi:65- 66
[6] rujuk al-Jami' Bayan al-Ilmi wa fadhihi
[7] Fiqh dan Perundangan Islam, jld. 1
No comments:
Post a Comment