"Sampaikanlah dariku walau satu ayat"~[hadith]

Assalamualaikum warahmatullahi warakatuh.. Terima Kasih kerana mengunjungi blog ilmu lancaster. Blog ini telah diwujudkan oleh warga warga yang perihatin dengan Ilmu. Banyak Ilmu ilmu yang kita dapat sehari hari, daripada khutbah, melayari Internet, email, youtube, perjumpaan komuniti malah pemerhatian kita terhadap tanda(ayat) kebesaran Allah serta Tadabbur Al Quran itu sendiri.. Jesteru sampaikanlah apa yang termampu di Blog ini melalui komen2 dan sebagainya. semoga ada manfaat kepada warga Lancaster khususnya dan warga internet umumnya. Semoga Allah jualah yang membalas amal kita dan digolongkan sebagai ilmu yang bermanfaat yang akan mengikut kita ke kubur

Sunday, 20 January 2008

Program 20 Januari 2008

TERMINOLOGI: FALAK DARI SUDUT AL-QURAN

Pengenalan

Pakar ilmuan Islam kini telah berjaya membuka mata masyarakat dalam menguasai pimpinan keilmuan, meluaskan penguasaan di setiap lapangan, menterjemah karya-karya tamadun-tamadun awal manusia, mendalami ilmu-ilmu dan membongkar rahsia-rahsia dengan memelihara kesucian ilmu itu sendiri untuk dipelajari oleh generasi akan datang. Antara ilmu-ilmu tersebut ialah ilmu astronomi ( ilmu falak ).

Umat Islam perlu mempelajari sumber-sumber tabie alam untuk dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, sama ada dalam pembentukan sesuatu konsep atau penghasilan produk. Kedua-dua hasil ini hendaklah dicernakan dalam keadaan ianya dapat mendidik umat mengenali penciptaNya memudahkan perlaksanaan ibadat di samping memuliakan ketinggian tamadun Islam.

ILMU FALAK DALAM ISLAM

Ilmu Falak merupakan salah satu cabang ilmu sains tabie yang mengkaji tentang perjalanan alam cakerawala seperti bumi, bulan, matahari dan bintang-bintang. Ilmu Falak moden kini beroperasi dengan menggunakan penglihatan yang diapliksikan dengan peralatan dan perkiraan matematik yang tepat. Kebarangkalian berlaku kesilapan dalam membuat perhitungan sains falak ialah nisbah 1: 100,000 saat sahaja.

Perkataan cakerawala berasal dari bahasa Sanskrit yang bermakna “sesuatu badan yang berputar”. Manakala perkataan falak berasal dari bahasa Sumerian iaitu pilak bermaksud sesuatu yang berputar. Ilmu Falak dalam bahasa Latin ialah astronomi yang bermakna “ilmu mengenai bintang”. Dalam al-Quran perkataan falak digunakan untuk menunjukkan sesuatu benda yang beredar di langit.

ISTILAH FALAK DALAM AL-QURAN

Sebagaimana firman Allah :

Maksud: Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malampun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya. (Surah Yaasin: 40)

Dalam surah al-Anbiaa’ ayat 30 Allah telah menjelaskan:
Maksud: Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam garis edarnya. (Al-Anbiaa’: 33)

Pada ayat 40 dalam surah Yaasin dan ayat 33 dalam surah al-Anbiaa’ telah menyebutkan kalimah فَلَك yang bermaksud “putaran”. Allah telah menjelaskan tentang kekuasaan-Nya. Allah telah mengarahkan supaya manusia memerhatikan segala penciptaan-Nya iaitu waktu malam dan siang. Tentunya tiada satu makhluk yang dapat meramal apa yang terjadi padanya. Terbitnya matahari di sebelah timur dan terbenamnya di sebelah barat. Matahari memancarkan sinarnya diwaktu siang dan bulan memancarkan cahayanya diwaktu malam. Semua objek-objek di alam cakerawala ini beredar dan berputar pada garis paksi masing-masing.

Berlaku siang dan malam disebabkan putaran bumi pada paksinya mengelilingi matahari. Begitu juga halnya dengan bulan yang beredar mengelilingi bumi pada paksinya. Bahagian bumi yang mendapat pancaran matahari ketika putaran akan mengalami siang manakala bumi yang terlindung dari pancaran matahari akan mengalami waktu malam. Cahaya bulan pula adalah disebabkan pantulan cahaya matahari dari bumi ke bulan.

Selain itu, ayat tersebut merupakan bukti-bukti alamiyah, di samping dalil yang rasional dan keterangan yang terdapat dalam kitab suci terdahulu yang berkisar tentang kewujudan dan kekuasaan Allah SWT bagi menguatkan lagi apa yang telah disebutkan dalam firmanNya bahawa apabila di langit dan di bumi ini ada tuhan selain Allah nescaya akan binasalah keduanya (langit dan bumi).

Firman Allah dalam al-Quran:
Maksud: Dan suatu tanda (kebesaran Allah yang besar) bagi mereka adalah bahwa Kami angkut keturunan mereka dalam bahtera yang penuh muatan. (Yaasin: 41)

Pada ayat 41 di atas, kalimah الفُلْكِ bermaksud ‘bahtera’. Allah telah menyediakan kapal/bahtera yang dapat belayar dan terapung-apung di lautan atau dipermukaan bumi yang bulat sebagai salah satu alat perhubungan manusia. Sudah menjadi kebiasaan kepada nelayan mengharungi lautan yang bergelora, ombak, angina dan badai yang melanda. Namun begitu, apabila siang berganti malam, manusia tidak dapat menafsirkan kemungkinan yang berlaku apabila berada di lautan yang luas. Terbentang. Angin dan ombak telah ditadbir oleh Allah dengan peraturan yang sangat teguh. Oleh itu, keduanya mempunyai kaitan yang penting kepada pelayar-pelayar antaranya ialah untuk mengenalpasti arah angin.

Allah telah mencipta bumi dalam keadaan bulat membujur. Realitinya sesuatu objek tidak dapat bergerak dengan baik di atas permukaan yang bulat dan hanya boleh bergerak di atas permukaan yang rata.

Namun begitu, Allah telah memberi akal fikiran kepada manusia supaya berfikir berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Tujuannya supaya pemikiran tersebut tidak tergelincir dari landasan syara’. Ternyata apa yang dikaji para ilmuan falak bertepatan dengan perkara yang telah dijelaskan dalam al-Quran. Oleh kerana itu, tidak mustahil apabila dikatakan bahawa semakin tinggi ilmu pengetahuan dan teknologi, semakin tersingkaplah kebenaran yang telah dibuktikan oleh wahyu Allah.

Allah berfirman lagi:

Maksud: Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mengetahui. (Al-An’am: 97)

Allah berfirman lagi:
Maksud: Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah tidurmu di waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mendengarkan.

Surah-surah yang disebutkan di atas menunjukkan kalimah-kalimah falak yang digunakan dalam al-Quran. Kebanyakan kalimah ini digunakan untuk istilah bahtera atau perahu. Namun begitu, ia masih mempunyai kaitan dengan kejadian langit, bumi, matahari, bulan dan alam cakerawala.

Selain itu, ia menggambarkan ketakjuban terhadap keseimbangan dan keselarasan, pergerakan yang berbeza sama ada secara bersendirian mahupun terhadap seluruh alam semesta. Allah telah menjelaskan tujuan matahari, bulan, langit dan bintang-bintang diciptakan dalam al-Quran:
Maksud: Dia menyingsingkan pagi dan menjadikan malam untuk beristirahat, dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan. Itulah ketentuan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. (Al-An`am: 96)

Sebagai contoh dalam kejadian bulan, matahari dan bintang-bintang. Allah telah memberitakan bahawa penciptaan bintang-bintang itu adalah untuk penerang, hiasan langit, penunjuk jalan dan pelempar syaitan yang ingin mencuri apa yang dikhabarkan oleh Allah kepada para malaikat di langit.

Firman Allah dalam al-Quran:

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka siksa neraka yang menyala-nyala. (Surah Al-Mulk: 5)

Dr. Yusuf al-Qardhawi menjelaskan bahawa perkara yang ditolak oleh fuqaha’ mengenai ilmu astrologi ialah menilik nasib melalui pergerakan bintang-bintang. Mereka (ahli astrologi) mendakwa boleh mengetahui perkara-perkara ghaib atau perkara yang berlaku pada masa akan datang berdasarkan bintang-bintang. Erti kata lain ahli astrologi (ahli nujum) mengaitkan pergerakan bintang-bintang terhadap kehidupan manusia. Perbuatan ini jelas batil sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W :

عَنْ ابْنِ عَبَّاسِ أَنَّ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ قَالَ : مَنِ اقْتَبَسَ بَابًا مِنْ عِلْمِ النُّجُوم ِ غَيْرِ مَا ذَكَرَ اللهُ فَقَدِ اقْتَبَسَ شُعْبَةَ مِنَ السِّحْرِ. المُنَجِّمُ كَاهِنٌ
وَالكَاهِنُ سَاحِرٌ وَالسَّحِرُ كَافِرٌ.

Maksudnya: Daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: “Barangsiapa mempelajari satu ilmu daripada ilmu bintang-bintang selain disebutkan nama Allah, maka sesungguhnya dia mempelajari cabang ilmu sihir. Ahli nujum itu penilik nasib dan penilik nasib itu ahli sihir dan ahli sihir adalah kafir”

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, ayat al-Quran yang dinyatakan di atas, Allah SWT telah mengemukakan tentang bukti alamiyah yang jelas dan nyata bahawa langit dan bumi ini dahulunya adalah suatu benda yang berpadu. Kemudiannya Allah telah memecahkannya dan masing-masing berputar dan berpusing pada paksinya yang telah ditentukan serta melakukan fungsi masing-masing dengan tertib dan teratur. Segala sesuatu yang hidup di alam ini dijadikan oleh Allah dari air dan dihidupkan-Nya dengan bantuan air sehingga air itu merupakan unsur yang sangat penting bagi kehidupan makhluk di bumi. Allah telah menciptakan gunung-ganang sebagai pasak bumi. Tujuannya agar makhluk yang berada di bumi ini tidak bergoncang sedikitpun, sedangkan bumi akan sentiasa bergerak dan berputar mengelilingi matahari pada paksinya. Allah juga telah menciptakan bagi manusia akan jalan-jalan di permukaan bumi, dataran-dataran yang lapang agar manusia mudah meneruskan perjalanan dan mengusahakan penghidupan. Allah juga mencipta langit sebagai alat yang terpelihara dengan rapi sehingga objek-objek yang berada di ruang cakerawala itu bergerak dan berterbangan menurut aturan masing-masing. Allah menciptakan siang dan malam; matahari, bulan dan bumi

PENUTUP

Apa yang nyata berdasarkan kepada hadith-hadith yang telah disebutkan bahawa perkara yang ditolak oleh fuqaha’ mengenai ilmu astronomi atau falak ini ialah apa yang dinamakan sebagai ‘at-tanjim’ (tilik nasib) atau uluumun nujuum (ilmu bintang) yang didakwa boleh mengetahui beberapa perkara ghaib iaitu ramalan apa yang berlaku pada masa depan berdasarkan bintang-bintang atau kejadian lain.

Kandungan al-Quran mengajak manusia mengkaji alam disekeliling mengkaji ilmu astronomi untuk mencari keindahan dan kebenaran ciptaan Allah dan bukannya menafikan kewujudannya. Kandungannya juga bertujuan untuk menambahkan keimanan dan ketaqwaan terhadap kebesaran Allah.

Faktor yang menjadi fokus kepentingan kajian ilmu astronomi secara praktikal di kalangan umat Islam ialah dimensi alam dalam penyembahan terhadap Allah dalam pelbagai bentuk. Waktu untuk bersembahyang setiap hari telah ditetapkan, berpuasa pada setiap tahun dalam bulan-bulan tertentu (wajib) bagi setiap tempat dan negeri yang didiami oleh umat Islam. Arah qiblat juga mestilah ditentukan di setiap tempat kediaman umat Islam, surau-surau, musolla dan tempat-tempat perhimpunan umat Islam pada setiap hari Jumaat iaitu masjid. Erti kata lain, secara praktiknya, masa dan arah qiblat mestilah ditetapkan di setiap negara untuk kemudahan umat dan musafir Islam. Demikianlah perihal keperluan agama serta kebenaran dan dorongan yang menakjubkan daripada keindahan bintang-bintang dan planet-planet ciptaan Allah yang akan memberi dorongan yang kuat kepada umat Islam.

No comments:

Radio nasyid FM